Ads 468x60px

Friday 9 November 2012

NILAM


‘NILAM’ atau Nadi Ilmu Amalan Membaca merupakan penggabungan atau adunan semua aktiviti galakan membaca yang pernah dijalankan di sekolah dengan memberi pengiktirafan yang sesuai. Pelaksanaan program ini meliputi penilaian pembacaan yang berterusan sepanjang tahun dan markah dikumpulkan secara kumulatif sehinggalah mereka tamat persekolahan.

Program ini ialah satu usaha Kementerian Pelajaran Malaysia dengan matlamat untuk membina tabiat membaca di kalangan murid. Bahagian Teknologi Pendidikan ialah urus setia di Kementerian Pelajaran yang ditugaskan untuk menyelaras program ini.
Program ini telah mula dilaksanakan dengan Tahun Satu di sekolah rendah dan Tingkatan Satu atau Peralihan di sekolah menengah dengan rasminya pada 1999, melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pelajaran Malaysia Bil.13/1998: Program Membina Tabiat Membaca bertarikh 22 Mei 1998.

Suatu tamadun atau bangsa hanya dapat dibina melalui masyarakat yang mengamalkan budaya ilmu. Cara utama dalam membina budaya ilmu dalam sesebuah masyarakat ialah melalui amalan tabiat membaca yang berterusan. Kementerian Pelajaran telah melaksanakan pelbagai program galakan membaca di sekolah-sekolah. Walau bagaimanapun kesan daripada program tersebut masih belum mencapai tahap yang dikehendaki. Dengan demikian Kementerian Pelajaran perlu mencari pendekatan baru bagi melaksanakan program galakan membaca yang lebih berkesan dan dapat dijalankan secara berkesan.

Matlamat Program NILAM ialah supaya terbina tabiat membaca dalam kalangan murid. Objektif Nilam ialah :-
• Menjadikan murid banyak membaca
• Menggalakkan sekolah terus menjana idea kreatif dan inovatif bagi menyemai tabiat membaca ini

Komponen Yang Terdapat Di Dalam Program NILAM

 
 Membaca dan merekod bahan bacaan
Murid perlu membaca buku yang sesuai dengan tahap kebolehan mereka dan mencatat maklumat pengarang, judul, bilangan mukasurat, penerbit dan sinopsis atau peta minda tentang buku yang dibaca ke dalam buku rekod.
Mengesahkan rekod dan mengumpul data
Tugas guru adalah untuk mengesahkan serta menandatangani rekod bacaan murid dan ia merupakan tanggungjawab semua guru di sekolah. Data rekod hendaklah dikumpulkan oleh guru kelas dan diserahkan kepada penyelaras Pusat Sumber Sekolah atau guru penyelaras NILAM untuk dianalisa dan direkodkan. Data pembacaan murid perlu dikumpulkan dan diserahkan kepada Pusat Kegiatan Guru di kawasan sekolah tersebut untuk dipanjangkan ke Pusat Sumber Pendidikan Negeri dan Bahagian Teknologi Pendidikan,Kementerian Pelajaran Malaysia.
Memberi Pengiktirafan dan Ganjaran
Sekolah dan semua peringkat Kementerian Pelajaran juga perlu memberi pengiktirafan dan ganjaran kepada murid yang telah banyak membaca dan berusaha mengisi rekod bacaan mereka mengikut sistem ganjaran dan pengiktirafan NILAM, misalnya dengan memberikan buku sebagai hadiah, sijil pengiktirafan NILAM atau dinyatakan bilangan buku yang sudah dibaca dalam rekod kemajuan murid dan sijil berhenti.

Program NILAM mempunyai dua tahap. Tahap pertama ialah untuk membina kemahiran dan menanam minat membaca sehingga terbina satu tabiat. Tahap ini dikenali sebagai JAUHARI. Tahap kedua pula membantu pencambahan penggunaan bahan dalam gerakan membaca. Tahap ini dikenali sebagai RAKAN PEMBACA (RP).

TAHAP JAUHARI
Tahap Jauhari menggalakkan murid menambah bilangan bacaan mereka dan ia dijalankan pada dua peringkat persekolahan :

a. Sekolah Rendah
Murid pada peringkat ini wajib membaca banyak buku sebaik sahaja mereka tahu membaca dan mula belajar (Pertengahan Tahun dalam Tahun Satu). Mereka perlu berusaha untuk mencapai tahap pembacaan seperti berikut :
Jumlah Buku
Pengiktirafan
90 - 179
Gangsa
180 - 269
Perak
270 - 359
Emas
360 ke atas
NILAM

b. Sekolah Menengah
Murid pada peringkat ini wajib membaca banyak buku apabila mereka mula belajar di Tingkatan Satu atau Peralihan. Mereka perlu berusaha untuk mencapai tahap pembacaan seperti berikut:
Jumlah BukuPengiktirafan
72 - 143
Gangsa
144 - 215
Perak
216 - 287
Emas
288 ke atas
NILAM


Tahap RAKAN PEMBACA (RP) mengutamakan aspek kepimpinan dalam aktiviti membaca. Setelah membaca sejumlah 100 buah buku murid layak memasuki tahap RP. Tahap ini memberi penekanan kepada kebolehan murid membimbing dan menarik minat orang lain supaya suka membaca. Walau bagaimanapun aktiviti Tahap JAUHARI masih diteruskan.
Pengiraan markah bagi aktiviti ini diberikan mengikut jumlah aktiviti atau sesi aktiviti (dan bukan jumlah bilangan pendengar, kecuali aktiviti meminjamkan buku) yang dijalankan mengikut kesesuaian umur murid seperti :
- Bercerita (1 sesi = 5 markah)
- Bicara Buku (1 sesi = 5 markah)
- Ulasan Buku (1 sesi = 5 markah)
- Meminjamkan buku (1buku x 5 peminjam = 5 markah)
• Murid pada tahap Rakan Pembaca ini diberikan pemarkahan usaha mereka mengikut Jadual Sistem Ganjaran RP :
Jumlah markah aktiviti
Pengiktirafan
100 – 199
Gangsa
200– 299
Perak
300 – 399
Emas
400  ke atasNILAM


Program NILAM mengalakkan murid membaca di mana jua walaupun selepas tamat waktu persekolahan. Walaubagaimanapun, satu masa membaca di Pusat Sumber Sekolah atau di sudut bacaan kelas wajar dimuatkan dalam jadual kelas terutamanya matapelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris untuk menjalankan aktiviti membaca.
Waktu lain juga boleh diperuntukkan untuk aktiviti PSS yang melibatkan pengajaran kemahiran membaca, contohnya aktiviti dalam Minggu Pusat Sumber Sekolah, Minggu Bahasa atau mata pelajaran lain.
Murid juga boleh meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit semasa waktu perhimpunan mingguan untuk aktiviti membaca seperti Bicara Buku dan menulis ulasan buku.

Melihat kepada statistik data yang dikumpul setiap tahun berkaitan pelaksanaan program ini, kita dapati penglibatan murid-murid kian meningkat dengan statistik pada akhir 2010 menunjukkan penglibatan pelajar sekolah rendah dalam Program NILAM Tahap Jauhari ialah 90.66%% berbanding 89.92% pada tahun 2009. Manakala, bagi sekolah menengah pula, jumlah pelajar yang menyertai program NILAM di Tahap Jauhari ialah 87.11% berbanding dengan penglibatan 85.25% pada tahun 2009. Berdasarkan data yang dikumpul pada tahun 2010, purata kadar pembacaan murid adalah 20 buah buku setahun bagi sekolah rendah dan 10 buah buku setahun bagi sekolah menengah.

Namun begitu, usaha kita tidak akan berhenti setakat ini sahaja dalam membentuk budaya membaca dalam kalangan murid-murid. Kita bertekad untuk mencapai sasaran kita iaitu penglibatan 100% murid dalam Program NILAM bagi mencapai kadar literasi dan numerasi yang disasarkan dalam NKRA pendidikan serta menyokong Teras1, Membina negara bangsa melalui memperkasa bahasa kebangsaan dan seterusnya membudayakan amalan membaca ini di luar lingkungan persekolahan.

Pemilihan Tokoh NILAM Kebangsaan dilakukan bersempena dengan Anugerah NILAM Kebangsaan yang telah dilaksanakan sejak tahun 2003 hasil keputusan mesyuarat Jawatankuasa Induk Gerakan Tabiat Membaca Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun yang sama. Calon-calon dari 4 kategori iaitu calon Sekolah Rendah Luar Bandar, Sekolah Rendah Bandar, Sekolah Menengah Luar Bandar dan Sekolah Menengah Bandar akan dinilai untuk memilih pemenang mengikut kategori dan juga Tokoh NILAM Sekolah Rendah serta Tokoh NILAM Sekolah Menengah di kalangan pemenang kategori tersebut.

Anugerah NILAM Peringkat Kebangsaan merupakan pengiktirafan tertinggi KPM dalam usaha membina tabiat membaca dalam kalangan murid selaras dengan hasrat negara melahirkan masyarakat bermaklumat dan berpengetahuan menjelang 2020 apabila Malaysia menjadi sebuah negara maju.





No comments:

Post a Comment