Ads 468x60px

Sunday 11 November 2012

MBMMBI: 10,000 guru Bahasa Inggeris dilatih tahun ini


KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran mensasarkan untuk melatih 10,000 guru bahasa Inggeris tahun ini bagi memastikan pengajaran bahasa itu di sekolah berjalan lancar. 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata penyediaan latihan berkenaan selaras dengan pelaksanaan dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi murid Tahun Satu yang bermula tahun depan. 

"Walaupun Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan, kementerian telah dan sedang melaksanakan pelbagai usaha dan strategi bagi meningkatkan kemahiran dan penguasaan dalam bahasa Inggeris. 


"Sehingga kini, hampir 12,000 guru terbabit dalam program latihan khusus untuk mengajar mata pelajaran bahasa Inggeris yang diadakan tahun lalu dan untuk tahun ini kementerian mensasarkan 10,000 guru bahasa Inggeris diberikan latihan sama," katanya ketika menjawab soalan Senator Ng Fook Heng pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini. 

Ng ingin tahu apakah langkah kukuh yang diambil untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar peringkat rendah dan menengah berikutan pemansuhan PPSMI untuk Tahun Satu dilaksanakan tahun depan. 

MBMMBI diperkenalkan bagi menggantikan PPSMI yang akan dimansuhkan pada 2012 setelah mendapati dasar itu gagal mencapai matlamatnya untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar dan pada masa sama menjejaskan pencapaian pelajar, khususnya di luar bandar dalam kedua-dua subjek itu. 

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata selain menubuhkan Jawatankuasa Induk Pelaksanaan Dasar MBMMBI yang dipengerusikan beliau sendiri, kementerian akan melakukan pengambilan semula guru bersara bahasa Inggeris dengan menawarkan kerja secara kontrak. 
Beliau berkata, mulai tahun ini sehingga 2013, kementerian mensasarkan 600 guru bersara bahasa Inggeris akan dilantik secara kontrak di seluruh negara dan sehingga Mac lalu 168 guru sudah menerima tawaran berkenaan. 

Katanya, kerajaan turut membawa masuk 375 penutur jati dari luar negara untuk melaksanakan program peningkatan profesionalisme pensyarah dan guru Bahasa Inggeris dengan 360 daripada pakar bahasa Inggeris itu dilantik sebagai mentor kepada guru Bahasa Inggeris bagi 1,800 sekolah rendah. 

Kementerian juga meningkatkan kapasiti bilik komputer di sekolah sebagai makmal Bahasa Inggeris dengan 20 sekolah dipilih sebagai perintis makmal itu tahun lalu dan diperluaskan ke 700 sekolah lagi tahun ini. 

Muhyiddin berkata, kerajaan memperuntukkan RM6 juta bagi membekalkan bahan bacaan tambahan dalam bahasa Inggeris di pusat sumber sekolah rendah tahun ini. 

Bagi meminimumkan kesan perubahan dasar ini, kementerian memperkenalkan pendekatan pilihan lebih mudah iaitu pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik boleh dilaksanakan dalam dwibahasa mengikut keupayaan seseorang guru dan murid. 

"Ini bermakna, kertas peperiksaan disediakan dalam dwibahasa dan terpulanglah kepada mereka untuk menjawab dalam bahasa yang mereka mudah fahami," katanya. 

Timbalan Perdana Menteri berkata, bagi membantu guru dan murid menyesuaikan diri dengan peralihan itu, proses perubahan digerakkan secara berperingkat sehingga memasuki fasa MBMMBI sepenuhnya apabila kohort terakhir PPSMI tamat pada 2015. 

"Dengan penjelasan itu, saya amat berharap kekhuatiran dan keresahan sesetengah pihak terhadap isu ini akan terungkai," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment