Ads 468x60px

Sunday 11 November 2012

Kaji kesesuaian laksana kursus bahasa Inggeris


KEMENTERIAN Pelajaran akan mengkaji kesesuaian pelaksanaan kursus bahasa Inggeris secara intensif kepada murid sekolah rendah atau prasekolah menggunakan model pengajaran dan pembelajaran dari Australia Barat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Timbalan Perdana Menteri berkata, kajian itu meliputi tempoh pembelajaran, peringkat umur kanak-kanak, kandungan sukatan, penyediaan guru terlatih dan kos ditanggung kerajaan. 

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, model Australia Barat itu contoh baik untuk dipelajari dan melihat sama ada ia selaras dengan matlamat pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI). 


Kita tertarik dengan pendekatan Jabatan Pelajaran Australia Barat memberi kursus intensif bahasa Inggeris kepada setiap anak penduduk dari Asia seperti Vietnam, Malaysia dan China yang bahasa jatinya bukan bahasa Inggeris. 

Mereka diajar secara intensif selama setahun dengan kos ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri berkenaan dan kita dimaklumkan ia cukup berkesan, katanya kepada wartawan Malaysia selepas mengadakan perbincangan dan taklimat oleh dua pegawai Jabatan Pelajaran Australia Barat, di Hotel Pan Pacific, di sini semalam. 

Muhyiddin berkata, apa yang berbeza ialah pembelajaran intensif bahasa Inggeris di Australia Barat yang membabitkan Tahun Satu dan Dua itu merangkumi lima jam 10 minit sehari, sedangkan di Malaysia hanya sejam sehari. 

Kita mungkin tidak boleh buat di sekolah biasa di Malaysia disebabkan persekitaran berbeza kerana di sini apabila mereka keluar program intensif, mereka meneruskan kelas yang penggunaannya masih bahasa Inggeris. 

Oleh itu, kita rasa program intensif ini sesuai untuk murid prasekolah kerana peringkat usia kecil mereka mudah 'menangkap' dan cepat menguasai, katanya. 

Beliau berkata, selain itu di Australia Barat kursus intensif itu hanya membabitkan 7,000 murid Asia setahun dengan perbelanjaan AU$12,000 (RM36,000) setahun bagi seorang pelajar. 

Tapi di Malaysia kos itu akan dua kali ganda manakala bagi satu kohort (sesi kemasukan) saja, murid kita 500,000 orang. Dari segi guru terlatih juga bermasalah kerana kita hanya ada 60,000 guru bahasa Inggeris, katanya. 

Muhyiddin berkata, sistem sekolah dua sesi digunakan sekarang turut menghalang program intensif ini dibawa terus ke sekolah biasa kerana ia boleh menjejaskan jadual masa dan sistem pembelajaran. 

Justeru katanya, Kementerian Pelajaran akan berbincang dengan pihak berkaitan, termasuk ibu bapa sama ada sistem prasekolah yang menggunakan sepenuhnya bahasa Inggeris boleh diperkenalkan atau menambah kandungan pembelajaran sebagai permulaan.

No comments:

Post a Comment